Nama dan kelahiran.

Sohibul fadhilah Ustaz Abu Umair Manan Lubis bin Kasri bin Ibrahim. Abu Umair adalah kunyah beliau sempena nama anak sulungnya. Beliau dilahirkan pada 7 Disember 1976 di Petaling Jaya, Selangor dan membesar dalam keluarga yang menitik beratkan agama dan pendidikan. Hj Hassan bin Manan iaitu datuk beliau dari sebelah ibu merupakan imam di kampungnya dan menjadi tempat rujukan masyarakat setempat dalam masalah agama dan dunia. Ayah beliau iaitu Haji Kasri Ibrahim pula merupakan seorang yang aktif dalam usaha Dakwah dan Tabligh. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam mendorong seterusnya meletakkan anaknya di atas landasan pengajian tahfiz dan ilmu Syari’at. Kecaman dan sindiran yang diterima dari pelbagai pihak (pada masa itu, hafiz al-Quran dipandang hina dan amat berlawanan dengan arus perdana) tidak sedikitpun menjejas fokusnya untuk merealisasikan impian melihat anaknya menjadi hafiz, alim dan da’i.

Beliau yang bekerja di syarikat Nestle (Malaysia) adalah antara orang terawal yang berfikir dan berusaha untuk menghasilkan produk-produk makanan yang diiktiraf halal. Di antara langkahnya yang menggemparkan – pada waktu itu – adalah tindakannya menyertu salah sebuah kilang (Nestle) demi memastikan setiap produk yang dihasilkan di bawah seliaannya adalah suci lagi halal.

cropped Maahad

Perjalanan Menuntut Ilmu.

Ustaz Manan mendapat pendidikan awalnya melalui ayah dan ibunya Ishah binti Hassan t dan dengan didikan mereka, beliau berjaya mengkhatamkan Al-Quran dan telah dapat membacanya dengan baik. Beliau juga mendapat pendidikan formal di SRK Damansara Utama, Petaling Jaya.

Pada tahun 1987, beliau telah beralih kepada pengajian tahfiz di Madrasah Tahfiz Jalan Lim Poon, Batu Pahat, Johor. Selama 4 tahun di sana – iaitu sehingga tahun 1991 – beliau telah berjaya menghafal 30 juz Al-Quran dan mendapat Shahadah Tahfiz di bawah didikan Maulana Umar Farouq bin Soleh al-Burmawi, Ustaz Mohd Noh bin Bardan dan beberapa ustaz yang lain. Beliau merupakan pelajar ke-8 pertama (first eight) yang berjaya dalam ujian syahadah di madrasah yang ditubuhkan pada 1985 itu.

Kemudian, pada tahun 1992, beliau melanjutkan pelajaran ke Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Kuala Terengganu untuk meneruskan pengajian ‘alim yang ketika itu diterajui oleh Maulana Muhammad Bin Abdul Qadir an-Nadwi. Antara guru beliau dan kitab yang dipelajari di sana adalah:

  • Maulana Muhammad Bin Abdul Qadir an-Nadwi : Hayat as-Sohabah dan as-Shiro’ baina al-Hadharah al-Ghorbiyyah wa al-Hadharah al-Islamiyyah li Maulana Sayyid Abi al-Hasan an-Nadwi (kelas khusus bersama 3 pelajar lain).
  • Ustaz Ahmad Hayat an-Nadwi r: An-Nahwu al-Wadih, Fath al-Majid dan Jawahir al-Bukhari.
  • Ustaz Awang Jannah : Matan al-Ajurumiyah, Safinah an-Naja dan Matan Abi Syuja’.
  • Ustaz Daud bin Omar an-Nadwi : Qathr an-Nada, Syuzur az-Zahab dan Matan Abi Syuja’.
  • Ustaz Abdul Razaq Kelantan an-Nadwi : Syarah Ibnu ‘Aqil, Insyak, Qisos an-Nabiyin dan al-Qiraah ar-Rasyidah.
  • Ustaz Arif Sulawesi al-Azhari : Anwar al-Masalik dan Riyadh as-Solihin.
  • Ustaz Awang Hashim r : Tuhfah at-Thullab.
  • Ustaz Syarifuddin Bin Qasim dan Ustaz Hisyamuddin Bin Ja’afar : Senior kepada Ustaz Manan, mereka berdua juga masih belajar ketika itu tetapi beliau banyak belajar dengan mereka.

Pada tahun 1995, beliau meneruskan kembara ilmunya ke India iaitu di Darul Uloom Nadwatul Ulama, Lucknow. Beliau hanya sempat menuntut di sana selama setengah tahun pengajian iaitu dari bulan Syawal sehingga Rabi’ul Awwal dan terpaksa pulang semula ke Malaysia kerana masalah visa. Ketika di sana, beliau sempat belajar insyak bersama Maulana Abdul Rasyid an-Nadwi dan kitab Mukhtarat min Adab al-‘Arabi karangan Maulana Abul Hasan Ali an-Nadwi r bersama Maulana Iqbal an-Nadwi. Apa yang menarik, beliau berjaya mendapat peluang belajar kitab tersebut secara khusus atas permintaan beliau sendiri di pejabat Maulana Iqbal yang merupakan orang nombor 2 di Nadwatul Ulama ketika itu. Namun pengalaman paling berharga selama di Lucknow – yang sering beliau ceritakan – adalah kesempatan untuk berkhidmat pada Sheikh Maulana Abu al-Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi iaitu dengan menyarungkan kasut ke kakinya yang mulia ataupun menghulurkan tongkat ke tangan beliau setiap kali Maulana mahu keluar dari masjid.

Setelah pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat pada gurunya Maulana Muhammad Bin Abdul Qadir yang ketika itu telah membuka madrasah di Langgar, Kedah, sebagai tenaga pengajar kepada pelajar-pelajar kelas ibtidai dan dalam masa yang sama belajar beberapa buah kitab bersama gurunya itu. Antara yang dipelajari adalah kitab Mukhtar as-Syi’ir karangan Maulana Muhammad ar-Rabi’ al-Hasani an-Nadwi, Misykat al-Masobih, Syarah Ibnu ‘Aqil, Kifayah al-Akhyar (Kitab al-Buyu’), Fath al-Mu’in dan Insyak.

Kemudian, pada tahun 1996, beliau kembali meneruskan kembara ilmunya dan kali ini ke Mesir untuk mengambil Ijazah Tajwid dan Diploma Qiraat di Maahad al-Qiraat al-Azhar, Shoubra. Selama 6 tahun di sana, iaitu sehingga tahun 2001, beliau bukan sahaja sibuk bertalaqqi ilmu Tajwid dan Qiraat bersama masyaikh Qiraat, bahkan beliau juga sering menghadiri halqah-halqah ilmu lain di sekitar Kaherah terutama halqah Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari yang dikenali dengan nama Majlis al-Banjari li at-Tafaqquh fi ad-Din. Antara guru beliau dan kitab yang dipelajari di sana adalah:

  • Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari : Fath al-Qorib, Syarh at-Tahrir, ad-Durar al-Bahiyyah fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Sohih al-Bukhari, Jami’ at-Tirmizi, Muwattho Imam Malik, Musnad Imam Ahmad dan Rowa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam.
  • Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh (Muhaddith Mesir) : daurah kitab dan ijazah munawalah subhah.
  • Sheikh Hamdi Muhammad Solahuddin : Tasmi’ Quran riwayat Hafs ‘an ‘Ashim (30 juz).
  • Sheikh Fathi al-Masry : Tasmi’ Quran riwayat Hafs ‘an ‘Ashim (beberapa juz).
  • Sheikh Mahmud al-Masry : Matan Tuhfah al-Athfal dan talaqqi riwayat Hafs.
  • Sheikh Sa’ad al-Masry : Matan Jazariyyah beserta talaqqi riwayat Hafs.
  • Sheikh Hasan al-Masry : Matan Syatibiyyah dan Matan ad-Durrah beserta talaqqi Qiraat ‘Asyarah.
  • Ustaz Jalal Kelantan : Matan Syatibiyyah dan Matan ad-Durrah.
  • Ustaz Hanafi Terengganu: Sofwah at-Tafasir.

Sewaktu di Mesir, beliau sempat berkunjung ke bumi Syam semasa cuti musim panas 2001 dan dapat bertemu dengan ramai ulama’ di sana. Di antara ulama’ Syam yang dapat beliau ambil istifadah darinya adalah:

  • Sheikh Nuh Qadhi al-Qudhat : Khutbah Jumaat dan beramah mesra di rumah Sheikh (Irbid, Jordan).
  • Sheikh Sa’id Ramadhan al-Buthi : Majlis pengajian kitab Riyadh as-Solihin.
  • Sheikh Wahbah az-Zuhaili : Majlis ceramah umum.
  • Sheikh Abdul Karim al-Rifa’ie : Khutbah Jumaat.
  • Sheikh Musthofa Dib al-Bugho : Daurah kitab Muqaddimah Hadhromiyyah dan Minhaj al-Wushul.

Setelah pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat di Madrasatul Quran Kubang Bujuk sebagai tenaga pengajar di bahagian pengajian ‘alim dari tahun 2002 sehingga 2004.

Masih berasa tidak puas, beliau berkelana pula ke Indonesia membawa bersama isteri dan seorang anak untuk menimba ilmu khususnya dalam mendalami Fiqh Syafi’i di Pondok Pesantren Sirojul Mukhlasin, Magelang, Jawa Tengah di bawah asuhan al-Marhum Kiyai Mukhlisun Bin Mukhlasin Payaman r pada tahun 2004 sehingga 2007. Antara guru beliau dan kitab yang dipelajari di sana adalah:

  • Kiyai Mukhlisun r : Fath al-Mu’in, Ibanah al-Ahkam syarh Bulugh al-Maram, Hayat as-Sohabah dan Tafsir Ibni Kathir.
  • Kiyai Ahmad Nur Bin Abdul Majid r : Al-Mawahib as-Saniyyah syarh al-Faraid al-Bahiyyah, Minhaj al-‘Abidin, Hikam Ibni ‘Athoillah dan at-Tanwir fi Isqath at-Tadbir.
  • Gus Abdul Hamid Bin Kiyai Mukhlisun : Al-Asybah wa an-Nazhoir li as-Suyuthi dan al-Manahil as-Silsilah fi al-Ahadis al-Musalsalah.
  • Ustaz Muhammad Ali Muammar : Fath al-Mu’in, Sunan Abi Daud, Lathoif al-Isyarat ‘ala Tashil at-Thuruqat dan al-Luma’ li as-Syirazi.
  • Ustaz Solihin Windusari : Syarah-Syarah Minhaj at-Tholibin dan Al-Asybah li as-Suyuthi.
  • Ustaz Syamsul Ma’arif : Idhoh al-Qowa’id al-Fiqhiyyah li al-Lahji dan fiqh faraid.
  • Ustaz Izzuddin Wonosobo : Al-Asybah wa an-Nazhoir li as-Suyuthi.
  • Ustaz Ulil Abror r : Mabadi Awwaliyah (Qowa’id Fiqhiyyah dan Usul Fiqh).

Sepanjang 3 tahun di Indonesia, beliau memanfaatkan waktu libur -iaitu pada setiap Rabi’ul Awwal dan Sya’ban- dengan keluar berdakwah ke pulau-pulau terpencil di sekitar Jawa hingga ke Papua (Irian Jaya). Begitu juga dengan mengunjungi pondok-pondok pesantren besar terutama di daerah Kediri dan Jombang di Jawa Timur dan Sarang di Jawa Tengah. Ini memberi kesempatan kepada beliau untuk bersowan (menghadap) dan berinteraksi dengan kiyai-kiyai besar sambil mengambil istifadah dari majlis pengajian mereka. Di antaranya adalah kelas Ihya’ Kyai Maimoon Zubair dan kelas Kifayah Al-Ashab (Qawa’id Fiqhiyyah) Kyai Sa’id Abd Ar-Rahim.

Setelah pulang dari Indonesia, beliau kembali berkhidmat di Madrasatul Quran Kubang Bujuk sehingga tahun 2009 sebelum pulang ke Selangor dan menubuhkan Ma’ahad al-Musthofa. Sepanjang tempoh berkhidmat di Kubang Bujuk (2002-2004 dan 2008-2009), walaupun sibuk dengan tugasan mengajar dan tanggungjawab sebagai anggota lajnah ta’limiyah (unit yang bertanggungjawab merangka dan mengarahkan perjalanan qism at-ta’lim), beliau juga sentiasa mencari peluang untuk mengambil istifadah daripada para guru di sana dengan bertalaqqi beberapa buah kitab bersama mereka, antaranya adalah:

  • Ustaz Omar al-Firoqi (Pak Ngah Omar) : Tashil al-Mantiq, Ilmu al-Mantiq, Fath al-Mu’in, al-Fauz al-Kabir dan Syarah Nukhbah al-Fikar.
  • Maulana Abdul Fattah Bin Abbas : Lathoif al-Isyarat ‘ala Tashil at-Thuruqat dan Misykat al-Masobih.
  • Mufti Fuad Bin Haji Saidi : Misykat al-Masobih.
  • Maulana Jamal Husain al-Burmawi: Tafsir al-Jalalain.
  • Ustaz Ilyas Bin Muhammad : Husn as-Siyaghoh Syarh Durus al-Balaghoh.
  • Maulana Lambak (Ambak) Bin Ibrahim : Al-Hujjah al-Balighah li ad-Dehlawi di Surau Tuan Guru Haji Abbas.

Dakwah Tabligh dan Thoriqoh Tasawwuf.

Selain menuntut ilmu, beliau juga aktif dalam usaha Dakwah Tabligh. Beliau telah keluar 4 bulan ke India, Pakistan dan Bangladesh (IPB) kali pertama pada tahun 1992, iaitu ketika umurnya 15 tahun setelah menamatkan Syahadah Tahfiz dan kali kedua pada tahun 2002 setelah menamatkan pengajian di Mesir. Sepanjang tempoh pengajian di Mesir, beliau adalah antara penggerak usaha Dakwah Tabligh di kalangan para pelajar Malaysia dan telah keluar berdakwah ke beberapa buah Negara Arab yang lain. Beliau juga telah berbai’at dengan Hadratji Maulana In’amul Hasan r iaitu amir jemaah Dakwah Tabligh ketika itu.

Dalam thoriqoh tasawwuf pula, selain daripada mempelajari kitab-kitab tasawwuf secara khusus dengan Kiyai Ahmad Nur r, beliau telah mengambil Thoriqoh Syaziliyyah dengan Kiyai Mukhlisun Bin Mukhlasin Payaman r dan bai’at Thoriqoh ‘Alawiyah dengan Habib Umar Bin Muhammad Bin Hafiz.

cropped Maahad
cropped Maahad

Ma’ahad al-Musthofa.

Setelah hampir 20 tahun bergelumang dalam lapangan ilmu – belajar dan mengajar – di beberapa buah tempat dengan sistem yang berbeza, maka secara peribadi beliau berpandangan bahawa antara sistem pengajian terbaik dan paling sesuai dengan anak melayu adalah seperti yang diterapkan di kebanyakan pondok pesantren di Indonesia khususnya Pondok Pesantren Sirojul Mukhlasin dan ia berbeza dengan sistem pengajian yang diamalkan di kebanyakan pondok dan madrasah di Malaysia. Antara perbezaan ketara yang dilihat oleh beliau adalah seperti berikut:

  • Pesantren lebih menekankan para pelajar untuk melakukan latih tubi terhadap apa yang dipelajari berbanding hanya fokus kepada teori yang disampaikan oleh guru. Di sana, masa untuk mata pelajaran secara teori adalah sedikit berbanding praktik secara latih tubi. Dengan cara ini, para pelajar akan lebih mudah untuk menguasai satu-satu pelajaran dengan seronok dan tidak merasa susah dengan teori-teori yang membebankan otak. Dengan cara ini juga, beban para guru dapat dikurangkan dan akan melahirkan pelajar yang aktif dan tidak bersifat pasif iaitu hanya mengharapkan ‘suapan’ dari guru.
  • Fokus untuk membuatkan para pelajar menguasai satu-satu bidang ilmu berbanding hanya berbangga dengan mempelajari kitab-kitab yang besar walaupun tidak menguasainya.
  • Melatih para pelajar untuk aktif menulis dan menghasilkan karya secara kolektif. Ini akan membuatkan mereka terbiasa dengan perkara tersebut dan memberi kemampuan kepada mereka untuk menghasilkan karya sendiri selepas tamat belajar.

Sikap dan pemikiran.

Beliau juga adalah seorang yang berfikiran kritis dan terbuka. Tidak terikat dengan stigma pemikiran kebanyakan ‘orang’ pondok/madrasah yang memandang lekeh terhadap ‘orang’ universiti kerana tidak mempelajari sesebuah kitab dari kulit ke kulit dan begitu juga sebaliknya kebanyakan ‘orang’ universiti yang memandang lekeh terhadap ‘orang’ pondok yang hanya bergelumang dengan ‘kitab kuning’ tanpa memahami dan menekuni realiti semasa atau dalam kata lain sebagai ‘jumud’. Beliau melihat adanya pro dan kontra dalam setiap sistem tersebut dan cuba mengambil apa yang baik untuk dilaksanakan.

Oleh sebab itu, tercetuslah di fikiran beliau untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian di Malaysia dengan sistem pondok pesantren Indonesia yang menekuni kitab-kitab turath dengan beberapa pendekatan moden tanpa meminggirkan karya dan hasil kajian ulama kontemporari. Setelah bermesyuarat dan mendapat irsyad daripada Pesantren Sirojul Mukhlasin, maka tertubuhlah Ma’ahad al-Musthofa secara rasmi di sebuah rumah yang terletak di Kundang, Selangor pada hari Rabu 1 April 2009 bersamaan 5 Rabi’ul Akhir 1430.

Sepanjang penubuhan Ma’ahad al-Musthofa, ia telah dikunjungi oleh ramai ulama dari merata tempat dan tidak sedikit daripada mereka yang memuji sistem pengajian yang dijalankan di sini dan secara khusus memuji Ustaz Manan dan mengiktiraf keilmuan beliau. Antara yang boleh disebutkan di sini adalah:

  • Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari (Faqih, murabbi dan da’i berpengaruh di Nusantara)
  • Sheikh Sufyan Nur Marbu al-Banjari (Pakar Qiraat dan Pengasuh Ponpes An-Nur, Malang, Indonesia)
  • Maulana Ali Mahfuzi (Imam Besar Masjid Pusat Dakwah Indonesia, Jakarta)
  • Maulana Abdur Rahman Ahmad (Penulis dan Pengasuh Ponpes Ar-Rayyan, Cirebon, Indonesia)
  • Kiyai Yasin Asymuni (Tokoh di Lembaga Bahtsul Masail Nahdhatul Ulama Indonesia)
  • Sheikh Dr Afifi al-Akiti (Tokoh di Oxford University dan ahli majlis fatwa di United Kingdom)
  • Sheikh Toha Abdul Hamid Hamadi (Pengarang kitab besar dan Ahli Majlis Fatwa di Tarim, Yaman)
  • Habib Hasan bin Muhsin al-Hamid (Ulama senior dan Ahli Majlis Fatwa Ribath Tarim, Yaman)
  • Sheikh Dr Khalid Zahri (Pakar Ilmu Kalam dan kurator di al-Khizanah al-Hassaniyyah, Rabat, Maghribi)
  • Sheikh Dr Mohamed Chentouf (Keturunan Imam Abdus Salam bin Masyisy dan Dekan Fakulti Usul Fiqh, Universiti Abdul Malik As-Sa’di, Tetouan, Maghribi)

Terdapat juga beberapa buah madrasah yang telah meminta kepada Ustaz Manan untuk menerapkan sistem yang sama seperti Ma’ahad al-Musthofa dan melantik beliau sebagai penasihat rasmi untuk manhaj pengajian ‘alim di madrasah berkenaan.

cropped Maahad